Alam Terkembang Menjadi Guru?Apa Alam bisa jadi guru?

Image 1: Penulis bersama Professor Saifullah di Kampus IAIN, Padang.
Image 2: Penulis diBukittinggi, Sumatera Barat.
FLASHBACK:Alam Terkembang Menjadi Guru”: Kunjungan Kajian Lapang di SUMBAR

Minangkabau adalah suatu istilah yang seringkali merujuk kepada bentuk budaya yang dipegang oleh masyarakat di kawasan yang kini dikenali sebagai Sumatera Barat. Kawasan-kawasan heartland Alam Minangkabau atau Ranah Minang terletak di kawasan pergunungan di bahagian sebelah barat-tengah Sumatera. Masyarakat Minangkabau dikenali dengan tiga ciri utama: kuat berpegang dengan ajaran Islam, teguh pegangan kepada adat yang diistilahkan sebagai matrilineal family system; dan kecenderungan yang kuat untuk merantau.
Keunikan masyarakat Minangkabau telah menarik minat ramai pengkaji sosial ke Sumatera Barat. Salah seorang daripada mereka ialah Tsuyoshi Kato, calon ijazah doktor falsafah di Cornell University, Amerika Syarikat telah berkunjung ke Sumatera Barat selama 18 bulan pada awal 1970-an. Menurut Kato, salah satu ciri utama yang menarik perhatiannya ke sana adalah disebabkan keunikan masyarakat Minang yang kuat berpegang kepada “matrilineal system on one hand, and strongly adhere to a patrilineally-oriented religion, on the other hand. Setelah menyempuranakan tesis kedoktorannya, Kato telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk Matriliny and Migration: Evolving Minangkabau Traditions in Indonesia. Berbeza dengan Kato, penulis mempunyai sebab yang berbeza mengunjungi dan melakukan kajian di Sumatera Barat. Penulis berasa curious untuk mendalami masyarakat ini secara lebih dekat memandangkan biarpun orang-orang Minang membentuk sekitar tiga peratus dari seluruh rakyat Indonesia , namun Ranah Minang telah menghasilkan ramai tokoh-tokoh besar Indonesia di pelbagai bidang: baik politik, keilmuan mahupun keagamaan. Nama-nama seperti Mohamad Hatta, Haji Agus Salim, HAMKA, Pak Natsir, Sutan Sjahrir, adalah putera-putera yang berasal dari Minangkabau yang dikenali ramai. Dalam konteks perjuangan ummah Islam dan gerakan pembaharuan ummah , Ranah Minang juga menghasilkan pelbagai tokoh seperti Shaykh Ahmad al-Khatib, Shaykh Tahir Jalaluddin, Imam Bonjol, Hj. Abdullah Ahmad, Djamil Djambek, dan Haji Rasul (ayah kepada HAMKA). Yang jelasnya sumbangan anak-anak kelahiran Minangkabau boleh dianggap disproportionate daripada jumlah mereka yang agak kecil.
Secara khususnya kunjungan penulis ke Sumatera Barat ialah untuk memantapkan kajian bagi program doktor falsafah bagi meneliti intellectual linkage antara Malaysia dan Minangkabau: menjejaki bahan-bahan yang belum ditemui di Malaysia, dan bertukar-tukar fikiran dengan para ilmuan di sana bagi memperkemaskan kajian penulis.
Pelangi Airways
Penulis memilih untuk bekunjung ke Sumatera Barat dengan menaiki pesawat Pelangi Airways. Keputusan memilih Pelangi adalah no-brainer, kerana hanya Pelangi menawarkan penerbangan langsung dari Kuala Lumpur ke Padang. Bagaimanapun di hari yang dijadualkan, penerbangan pesawat tersebut terpaksa ditunda dari jam 1.10 petang kepada 4.10, kemudian 5.10 dan akhirnya 7.10 malam. Alhamdulillah, setelah beberapa kali tertunda akhirnya pesawat Pelangi Airways berlepas ke Padang jam 7.15 malam. Sejam selepas itu, pesawat telah pun masuk ke ruang udara Padang, pramugara pesawat mengumumkan bahawa pesawat tidak mendapat mendarat di padang akibat cuaca buruk, sebaliknya harus pulang ke Subang. Kedengaran para penumpang mengeluh panjang. Penulis faham dan simpati sekali dengan nasib mereka setelah seharian tersadai di Subang, kini begini pula jadinya. Setelah sampai di Subang, para penumpang ditempatkan di Hotel Malaya dari Jumaat malam hingga ke petang Ahad. Memang penulis bingung dan kurang senang dengan Pelangi Airways. Semasa di hotel penulis berkesempatan berbual dengan ahli perniagaan berasal dari Padang, kini sudah menetap di Pulau Pinang sebagai warga Malaysia. Katanya, permasalahan Pelangi Airways sekarang adalah akibat dari politicking. Malah ketika di airport penulis turut mendengar pandangan yang sama daripada anak Padang yang kebetulannya pengurus Pelangi Airways di Padang. Menurut mereka, saham majoriti Pelangi ketika ini dimiliki oleh individu/kumpulan dari Terengganu yang tidak sealiran dengan pemerintah. Tambah mereka, justeru itu Pelangi gagal mendapatkan bantuan bank bagi mengembangkan operasinya terutamanya untuk membeli pesawat tambahan, kecuali dengan jika bersetuju menjual majoriti saham kepada pihak yang tertentu. Ketika ini pelangi hanya memiliki tiga buah pesawat untuk penerbangan domestik dan Padang. Secara kebetulannya pula beberapa hari sebelum kami berlepas ke Padang, dua buah pesawat Pelangi yang lain sedang diperbaiki. Nah inilah akibatnya, para penumpang tersadai. Di akhir perbualan dengan ahli perniagaan itu dia berkata: Pelangi adalah satu-satunya syarikat penerbangan milik penuh bumiputera, jadi kita harus menyokong pelangi.Kalau Malaysian Airlines yang mengalami kerugian boleh disokong mengapa tidak Pelangi? Bahkan tambah beliau lagi, pernah sebuah syarikat penerbangan yang agak kukuh di Indonesia menawarkan untuk melakukan kerjasama dengan Pelangi, namun dihalang oleh pihak berkenaan.Penulis tidak pasti sejauh mana kebenaran perbualan-perbualan yang didengari tentang Pelangi ini; namun satu perkara yang penulis pasti sesuatu perlu dibuat untuk memastikan para penumpang menerima perkhidmatan yang terbaik kerana Pelangi Airways adalah satu-satunya pesawat yang menawarkan perjalanan langsung dari Malaysia ke Padang.
Isu Pak Anwar
Semasa kunjunganku ke Universitas Andalas dan Institut Agama Islam Negeri (IAIN) beberapa ilmuan yang perihatin mengajukan soalan kepada tentang perkembangan politik Malaysia dan nasib Pak Anwar. Namun aku lebih senang mendengar ulasan mereka daripada memberi komentar sendiri. Menurut ahli sosiologi di Andalas, apa yang terjadi di Malaysia seharusnya menjadi iktibar akan bahaya apabila seseorang itu berkuasa terlalu lama. Seorang ahli ekonomi di Andalas yang pernah menuntut di Malaysia dalam perbualannya dengan aku menyatakan: “Saya tidak bersimpati dengan apa yang menimpa Anwar kerana saya tahu beliau adalah seorang pejuang yang cekal. Justeru itu saya yakin Pak Anwar mampu menghadapi tantangan dan tribulasi yang dihadapkan ke atasnya. Simpati saya adalah terhadap rakyat Malaysia yang dinafikan hak untuk memiliki pemimpin yang berkredibilti tinggi. Kedua, simpati saya kepada mereka yang bersimpati dengan Anwar, namun tidak dapat melakukan sewajarnya untuk membela nasib Pak Anwar.” Kata-kata itu aku renungi dalam-dalam, ternyata ada benarnya.
Persepsi terhadap Gus Dur
Ketika penulis berada di Sumatera Barat, kebetulan pula Indonesia menghadapi krisis politik yang hebat. Jadi apabila saja ada isu politik nasional yang dibincangkan penulis yang masih novice dalam hal tersebut mendengar dengan penuh minat. Penulis berkesempatan berbual dengan Dr. Hj. Saifullah, Dekan Fakulti Kesusasteraan, IAIN-IB, Padang (Institut Agama Islam Negeri, Imam Bonjol). Pak Saif, sebetulnya bukan sahaja seorang ilmuan, tetapi juga seorang aktif di bidang politik. Sebelum kakitangan kerajaan dilarang daripada menyertai politik, Pak Saif merupakan salah seorang pemimpin Parti Bulan Bintang (sebuah fraksi parti politik Islam yang beraliran sederhana), kawasan Sumatera Barat. Sambil menikmati minuman istimewa teh telor di warung, Penulis mengajukan soalan sama ada kejatuhan Gus Dur dan naiknya Megawati menggantikan Gus Dur akan membawa kesan yang lebih buruk buat masa depan Indonesia. Menurut Pak Saif dalam kegawatan politik Indonesia sekarang ini Megawati bukanlah pilihan yang buruk, malah tidak keterlaluan dikatakan adalah lebih baik daripada Gus Dur. Menurut Pak Saif, permasalahan dengan Gus Dur sekarang adalah keengganannya untuk mendengar nasihat dari golongan-golongan Islam yang bukan dari alirannya. Lantaran kedudukannya sebagai kiyai, Gus Dur tidak mengendahkan nasihat pihak Islam lain dengan berselindung di sebalik imejnya sebagai tokoh yang arif dalam hal keagamaan, perkara kedua menurut Pak Saif, bagaimana seorang pemimpin yang pancainderanya tidak sempurna seperti Gus Dur mampu memeimpin dan menjamin beliau tidak dikuasai, dipengaruhi oleh golongan yang berkepentingan di belakangnya. Jelas Pak Saif, Mega adalah alternatif yang lebih baik dari Gus, berdasarkan beberapa perkiraan: pertama lantaran tiada status keagamaan Mega perlu lebih akur dengan teguran pihak golongan Islam, kedua, memandangkan parti pimpinannya PDI, tidak memiliki majoriti di DPR, Mega pasti akan lebih berhati-hati. Pak Saif nampaknya begitu bingung dengan tindak tanduk Gus Dur, yang menurutnya tidak mahu duduk semeja berbincang dengan ICMI, tapi lebih senang duduk semeja dengan Israel.
Rata-rata masyarakat yang ditemui menunjukkan kejelekan mereka terhadap Gus Dur.
Tanggal 2 Februari 2001, semasa penulis berada di ruang legar Fakulti Dakwah untuk bertemu Professor Dr. AmirShah, penulis sempat menyaksikan siaran langsung Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di kaca TV bagi membincangkan isu keterlibatan Gus Dur dalam menangani penyalahgunaan dana Yayasan Karyawan Bulog, dan dana Sultan Brunei. Ruang legar fakulti adab dipenuhi para mahasiswa serta staff fakulti Adab yang begitu khusyuk megikuti sidang tersebut. Apabila ada kritikan tajam terhadap Gus Dur, mereka bertepuk tangan dengan gemuruh. Salah satu ucapan yang paling keras dikemukakan oleh perwakilan PPP dimulai dengan memetik hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, Jika Fatimah (puteri Rasulullah s.a.w.) mencuri nescaya akan ku potong tangannya, disambut tepukan gemuruh di DPR, dan khalayak di ruang legar yang menyaksikan siaran langsung di ruang Fakulti Dakwah, IAIN.
Sebuah keluarga istimewa
Di Sumatera Barat penulis amat terhutang budi kepada pelbagai lapisan masyarakat Minang yang ditemui sepanjang melakukan kajian lapangan di sana. Keramahan dan kemurnian budi mereka mebuatkan penulis begitu senang sekali di sana. Penulis terutamanya, amat terkesan dengan budi baik kepada sebuah keluarga yang ditemui di sana. Keluarga tersebut ialah Pak Drs.Azwir dan Ibu Partema serta putera-puteri mereka:Fadhilah Rahmi dan Fadhil Arifman. Pak Azwir menjawat jawatan Pendaftar di IAIN IB. Dia bertanggungjawab menguruskan pentadbiran umum, serta hal ehwal akademik dan kemahasiswaan. Tugasannya tidak terhad di situ sahaja, bahkan dia juga adalah seorang aktivis masyarakat yang berperanan sebagai khatib untuk khutbah solat Jumaat, penceramah agama, serta pemimpin masyarakat. Pak Azwir banyak membantu dalam memperkenalkan penulis kepada ilmuan-ilmuan di Padang, serta memperkenalkan penulis kepada Drs. Sabiruddin yang kemudiannya banyak membantu penulis sepanjang penyelidikan di Sumatera Barat. Ibu Partema pula mencurahkan baktinya di bidang pendidikan sebagai guru di sekolah dasar (rendah); manakala putera puteri mereka pula masih bersekolah.
Secara kebetulannya, Pak Azwir adalah sepupu kepada Dr. Achmad Syafii Maarif, seorang ilmuan Indonesia yang terkenal. Syafiii merupakan salah seorang dari tokoh tiga serangkai dari Indonesia yang melanjutkan pelajaran Ph.D di Universiti Chicago di awal 1980an di bawah penyeliaan al-Marhum Fazlur Rahman. Agaknya, kebanyakan masyarakat di Malaysia lebih mengenali nama dua daripada tiga serangkai itu: Dr.Amin Rais, dan Dr. Nurcholis Madjid, biarpun ketokohan dan keilmuan Pak Syafii tak kurang hebatnya. Syafii adalah seorang ilmuan yang amat disegani: pernah menjadi Pensyarah jemputan di UKM dan McGill University, di Kanada dan kini menjadi Ketua Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah.
Pertemuan penulis dengan keluarga istimewa ini adalah di luar perancangan insani, ia adalah barakah dan suratan yang amat menguntungkan . Sebenarnya, penulis tidak mempunyai kenalan apatah lagi sanak saudara di Ranah Minang itu. Pertemuan dengan keluarga ini ada hubung kaitnya dengan kelewatan penerbangan ke Padang. Lantaran kelewatan tersebut, penulis sempat menegenali dengan agak intim anak-anak Padang yang turut serta menaiki pesawat Pelangi. Hasil dari perkenalan itu, apabila tiba di Padang pada hari Ahad, mereka mencadangkan kepada penulis agar tinggal di rumah sanak saudara mereka di Padang terlebih dahulu sebelum menginap di hotel keesokan harinya. Penulis amat terkesan dengan budi baik mereka yang menerima kehadiran stranger ke rumah mereka di Siteba, Padang. Setelah berada di sana, Pak Azwir dan keluarga mempelawa penulis untuk menginap di rumahnya sepanjang masa berada di Padang. Sesungguhnya penginapan di rumah keluarga istimewa ini adalah kesempatan yang amat menguntungkan penulis. Penulis bukan sahaja dilayan dengan baik, dan diterima seolah-olah sebagai ahli keluarga Pak Azwir sendiri, bahkan ia memberi kesempatan kepada penulis untuk mengenali dengan lebih dekat lagi selok belok budaya masyarakat Minang. Sebagai penghargaan terhadap keluarga ini, penulis ingin merakamkan serangkap pantun:
Tanam lenggundi tumbuh kelapo;
Terbit bungo pucuk mati;
Budi kalian sekeluargo ambo tak lupo;
Sudoh terpahat di dalam hati.
Demikianlah catatan sekelumit pengalaman semasa penulis berada di Ranah Minang. Semoga pengamatan terhadap seleksi peristiwa dapat membuahkan pengajaran buat pembaca, seperti judul buku budayawan terkenal Minangkabau, A.A. Navis, Alam Terkembang Menjadi Guru. Aku bertanya kepada Pak Azwir apa ertinya judul tersebut. Jelas Pak Azwir, bukankah kejadian alam dan peristiwa dalam kehidupan ini mengandungi pengajaran (ibrah) untuk kita renungi? Itulah erti Alam Terkembang Menjadi Guru. Aku mengangguk-angguk, tanda faham.
Catatan tidak diterbitkan, 2001

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: